Oleh ANUAR AHMAD
SEORANG profesor terkenal pernah memberitahu penulis mengenai betapa ruginya mahasiswa kini kerana tidak berpeluang merasai nikmat hidup di kampus seperti zamannya dahulu.
Beliau menceritakan pengalaman hidup di kampus sekitar awal 1970-an. Mengenai aktiviti bersama rakan sekuliah, menganjurkan seminar dan projek khidmat masyarakat, berdebat dan tidak ketinggalan alam politik di kampus.
Nampaknya pengalaman luar dewan kuliah tetap kekal erat di dalam memori beliau. Kisah profesor tersebut mungkin berbeza dengan keadaan sekarang. Hari ini, mahasiswa terbeban dengan rutin akademik yang begitu rigid sehingga aktiviti di luar dewan kuliah dan yang bukan berunsur peperiksaan sudah dianggap tidak penting.
Perkembangan akademik hanya berlaku sekitar syarahan, nota kuliah dan peperiksaan.
Hakikatnya cabaran mahasiswa semakin hari semakin besar. Sekurang-kurangnya terdapat tiga cabaran utama. Pertama, berjaya mengungguli prestasi akademik dengan ukuran pencapaian CGPA 3.50 ke atas.
Kedua, mempunyai tahap kemahiran komunikasi lisan dan tulisan dalam dwibahasa khususnya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Dan ketiga, mempunyai jati diri yang tinggi seperti berani mencuba, inovatif serta kecekapan membina jaringan sosial.
Cabaran pertama sememangnya sudah difahami sejak menjejakkan kaki ke menara gading. Tetapi bagaimana mereka menguruskan cabaran kedua dan ketiga sebelum melangkah keluar dengan segulung ijazah?
Setiap tahun institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta (IPTS) menghasilkan puluhan ribu graduan. Bilangan ini semakin bertambah dengan pelajar yang pulang membawa ijazah dari luar negara.
Dan pengangguran mahasiswa pula semakin tahun semakin bertambah. Data-data menunjukkan graduan yang menganggur mencecah 50,000 ketika ini.
Kerajaan terpaksa mengambil inisiatif menawarkan pendidikan lanjutan dengan elaun agar para graduan ini dapat membuat kemasan diri dan kelengkapan ilmu teknologi tambahan sebelum mereka benar-benar bersedia ke alam pekerjaan.
Pelbagai faktor telah dikenal pasti sebagai punca pengangguran siswazah. Antaranya, kesilapan pemilihan bidang yang tidak selari dengan jawatan yang ditawarkan. Gaji rendah dan tidak tetap, majikan menolak kerana tiada pengalaman kerja dan sebagainya.
Namun yang jelas, kesemua kajian mendapati wujud persamaan dalam satu perkara iaitu ketidakupayaan graduan memenuhi "keperluan asas" yang diperlukan oleh majikan.
Ia selalunya berkaitan dengan kelemahan kemahiran sosial dan keterampilan diri. Antara tuntutan majikan ialah kebolehan berkomunikasi lisan dan tulisan, berupaya melakukan pengucapan umum yang meyakinkan, beretika sopan, mempunyai prinsip kerja terbuka, toleran dan cekap membuat keputusan yang betul dalam masa singkat.
Semua keperluan asas ini sememangnya diketahui oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pimpinan IPT, lalu membentuk konsep kemahiran generik bagi tujuan meningkatkan pembangunan pelajar. Modul ini kemudiannya ditadbirkan kepada semua IPTA agar graduan mempunyai kemahiran generik yang tinggi dan memenuhi keperluan majikan. Semua ini telah diatur dengan begitu baik dan teliti serta dilaksanakan secara konsisten oleh semua IPTA.
Malangnya masih ada cabaran yang perlu dilalui untuk menjayakan pembangunan pelajar ini. Kajian-kajian terbaru berkaitan perkembangan kemahiran generik mendapati kebanyakan pelajar tidak mengambil peluang memperlengkapkan diri dengan kemahiran generik seperti perhatian yang mereka berikan kepada pencapaian akademik.
Biasanya apabila kajian pengesanan graduan dilakukan ke atas pelajar yang telah tamat dan sedang mencari pekerjaan, rata-rata mereka menyatakan kekesalan kerana tidak mengambil peluang meningkatkan perkembangan diri melalui program-program perkembangan generik yang disediakan.
Jika dahulu di awal tahun 1970-an, pendidikan universiti mempunyai tiga matlamat iaitu menimba ilmu untuk menjadi insan yang berhemah dan berketerampilan. Kemudian menjadi warga yang baik dan terakhir, menjadi pekerja berkualiti.
Hari ini, seseorang mahasiswa perlu menggabungkan ketiga-tiga matlamat itu sebagai satupakej. Mereka harus mencapai kecemerlangan akademik dan pada masa yang sama melatih diri untuk berketerampilan, beretika, matang serta bersahsiah tinggi.
Penelitian penulis terhadap perancangan ko-kurikulum yang dibangunkan di semua IPTA menunjukkan komponen pembangunan moral dan tanggungjawab sosial masih sangat kurang disampaikan kepada pelajar.
Walaupun dicatatkan sebagai rujukan dalam dokumen kurikulum, realitinya pelaksanaan masih gagal disempurnakan.
Tiga komponen utama yang dipertanggungjawabkan membina perkembangan pelajar di universiti ialah fakulti atau sekolah pengajian, kolej kediaman dan kegiatan berpersatuan melalui Jabatan Hal Ehwal pelajar.
Di fakulti, urusan akademik menjadi fokus utama di kalangan tenaga akademik dan pelajarnya. Rata-rata pensyarah akan memastikan semua kandungan sukatan pembelajaran ditamatkan dalam semester pengajian berkenaan. Ini bagi memenuhi kepatuhan audit kualiti akademik di hampir semua IPT.
Kolej kediaman adalah tempat di mana pelajar tinggal. Maka kemudahan penginapan, keselesaan bilik, kafeteria dan kemudahan riadah menjadi tumpuan utama.
Walaupun sudah ada perancangan untuk memberikan imej baru kepada konsep akademik di kolej kediaman tetapi peranan baru kolej kediaman ialah membina kesedaran bahawa dunia akademik tidak seharusnya berhenti di dewan kuliah sahaja.
Kolej kediaman berperanan membina budaya akademik melalui aktiviti luar kuliah supaya pelajar sedar bahawa cara mereka berfikir, bercakap, membuat keputusan, bergaul dan berhujah seharusnya dilingkungi oleh alam akademik dalam satu sistem ekosistem ilmu menyeluruh. Hanya dengan cara ini maka graduan IPT bukan sahaja keluar dengan sekeping ijazah tetapi memenuhi pakej yang diperlukan.
Sementara di bahagian Hal Ehwal Pelajar, pelbagai program perkembangan pelajar dirancang untuk melengkapkan mereka dalam menghadapi dunia selepas pengajian di universiti. Kejayaan membangunkan intelektualisme pelajar sangat tergantung kepada kejayaan pihak pengurusan HEP merangka dan melaksanakan semua program perkembangan pelajar secara konsisten, berkualiti serta memenuhi keperluan semasa di kampus.
Belajar di IPT tidak lengkap jika pelajar tidak melibatkan diri dengan kegiatan berorganisasi serta berpersatuan. Malah sebahagian kemahiran insaniah yang tidak diperoleh di dalam dewan kuliah akan diperoleh melalui kegiatan berpersatuan.
Kata Albert Einstein, pendidikan sebenar ialah ilmu yang masih tertinggal apabila seseorang telah melupakan semua apa yang dilalui semasa di 'sekolah' dahulu. Oleh itu, apa pun yang dipelajari semasa melaksanakan aktiviti berpersatuan sebenarnya adalah sebahagian pendidikan untuk membina modal insan para mahasiswa.
Imej dan identiti mahasiswa sekarang sudah berubah. Oleh kerana program akademik yang semakin padat, pembelajaran di universiti kini lebih cenderung belajar berasaskan modul. Pelajar kurang inisiatif mencari input tambahan dan sangat bergantung pada apa yang disediakan oleh pensyarah sebagai bacaan asas atau teks utama.
Pelajar juga lebih suka menunggu arahan pensyarah dan gemar dipimpin berbanding memimpin.
Selain itu imej ulat Internet, taksub dan gila komputer, khayal dengan hiburan dan meminati bahan dan media bacaan ringan. Etika berpakaian juga semakin lemah, alasannya lebih ringkas adalah lebih praktikal.
Sekurang-kurangnya empat perkara di bawah harus dilaksanakan dengan segera.
Pertama, kerangka aktiviti kemahasiswaan era ini harus mengambil kira keperluan majikan dan industri serta keperluan nilai masyarakat.
Kedua, pihak universiti perlu melaksanakan latihan untuk meningkatkan kemahiran tadbir urus kemahasiswaan di kalangan pegawai JHEP.
Mereka ini bertanggungjawab membantu pelajar melaksanakan program berkualiti. Kebanyakan pegawai JHEP belajar melalui pengalaman semata-mata dalam memahami pengurusan mahasiswa.
Ketiganya, menjadikan aktiviti pelajar sebagai aktiviti wajib. Keempat, menyediakan peruntukan kewangan untuk melaksanakan aktiviti pelajar sama ada melalui peruntukan kerajaan, tajaan industri, korporat ataupun alumni IPT.
Adalah tidak benar bahawa AUKU adalah sebab utama yang membawa kepada imej kelesuan mahasiswa seperti disuarakan oleh sesetengah pihak di luar kampus.
Mahasiswa perlu berfikir dan mula merancang aktiviti lebih mencabar sesuai dengan harapan masyarakat terhadap mereka sebagai modal insan utama pembangunan negara.
Pihak KPT dan IPT pula perlu lebih bersikap terbuka untuk menerima idea-idea baru daripada para mahasiswa walaupun idea-idea tersebut mungkin berada di luar kotak pemikiran kita.
PENULIS ialah Timbalan Pengarah Akademik Kolej, Pusat Perkembangan Pelajar, UKM
No comments:
Post a Comment