Monday, November 2, 2009

30 % daripada 100 produk kesihatan diuji USM tidak halal

PULAU PINANG 2 Nov. - Hampir 30 peratus daripada 100 produk kesihatan yang diuji di makmal Pusat Pengajian Sains Farmasi Universiti Sains Malaysia (USM) tidak halal kerana menggunakan gelatin kapsul diperbuat daripada kulit babi.

Dekannya, Prof. Madya Dr. Syed Azhar Syed Sulaiman berkata, kebanyakan produk yang diuji tidak halal oleh pihaknya dipercayai boleh diperoleh di pasaran tempatan.

Tanpa mendedahkan produk berkenaan, menurutnya, barangan yang diuji bagi mengenalpasti sumber gelatin yang digunakan itu telah dihantar oleh Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan dan pengeluar produk.

''Daripada 100 produk kesihatan yang kita uji, kira-kira 30 peratus didapati tidak halal dan menggunakan gelatin daripada babi kerana ia lebih murah daripada gelatin lembu.

''Malah kebanyakan produk farmaseutikal yang dijual di negara ini mengatakan produk mereka halal tetapi hakikatnya kita tidak tahu kerana tiada sebarang mekanisma digunakan untuk menentukan perkara itu,'' katanya pada sidang akhbar di USM di sini hari ini.

Gelatin merupakan suatu campuran protein diekstrak daripada kulit binatang.

Beliau berkata, pendedahan itu bagaimanapun tidak menggambarkan keseluruhan pasaran gelatin kapsul di negara ini kerana ada pengeluar bertindak menukar kepada gelatin yang halal selepas dimaklumkan mengenai perkara itu.

Sehubungan itu, Syed Azhar berharap supaya pihak bertanggungjawab termasuk Kementerian Kesihatan mewajibkan semua pengeluar produk kesihatan untuk menggunakan gelatin kapsul daripada sumber yang halal.

Dalam pada itu, beliau berkata, inisiatif USM membangunkan kajian berkaitan status halal sesuatu produk membuktikan komitmen universiti dalam merealisasikan harapan negara untuk muncul sebagai hab produk halal dunia.

Malah katanya, usaha itu juga bertujuan meningkatkan pembangunan ummah secara mapan supaya masyarakat di negara ini berupaya mengubah cara hidup ke arah lebih baik dengan adanya kajian-kajian seumpama itu.

''Isu halal ini bukan terhad kepada produk malah ia berkaitan dengan cara hidup kita seharian dan ia juga lebih bersifat kesedaran di mana bila kita sedar kepentingannya malah sekali gus mampu mengubah cara hidup kita,'' jelasnya.
Powered By Blogger