Adakah kita saling sayang menyayangi sesama kita? Adakah kita sentiasa
mendoakan kesejahteraan dunia dan akhirat kepada seluruh orang mukmin.
Adakah kita sayangkan saudara kita sepertimana kita sayangi diri kita sendiri?
Adakah kita tidak mahu melihat saudara kita menderita sepertimana kita sendiri
tidak mahu hidup menderita? Tepuk dada tanya iman kerana kesempurnaan iman
itu dikaitkan dengan sifat saling sayang menyayangi. Rasa bersama dan
menyatakannya melalui ungkapan dan reaksi gerak badan memang diajarkan oleh
Rasulullah SAW. Contohnya memberikan hadiah walaupun kecil dan sentiasa
berterima kasih, ziarah-menziarahi selain berkongsi suka-duka dan bertakziah
atau bersimpati apabila ditimpa malapetaka. Kita tidak perlu meraikan Valentine
Day semata-mata untuk menyatakan rasa kasih kita pada seseorang kerana
Islam menggalakkan umatnya agar kasih-mengasihi sesama sendiri sepanjang
waktu dan bukannya menetapkan pada hari-hari tertentu atau berkala. Bahkan
jika kita tidak bertegur sapa sesama saudara Islam selama tiga hari berturut-
turut, hukumnya telah menjadi haram. Justeru budaya Islam sendiri sudah
terbukti jauh lebih baik. Berkasih sayang dalam Islam tidak terhad kepada
golongan tertentu sebaliknya meliputi semua pihak dengan keutamaannya
diberikan kepada ibu bapa, suami isteri, keluarga, saudara Muslim dan akhirnya
seluruh manusia.